Kiyai Haji Ahmad Zuhri bin Mutammim ialah salah seorang daripada ulama terkemuka Singapura. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Jawa Timur pada tahun 1905, dan seterusnya menempuh alam pendidikan pada peringkat rendah dan menengah di Madrasah Tanwir al-Afkar di Belimbing, Lamongan, Jawa Timur dari tahun 1915 hingga 1922. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Perguruan Tinggi Islam di Surabaya dari tahun 1923 hingga 1930. Setelah itu, beliau datang ke Singapura pada tahun 1930 untuk belajar bahasa Melayu serta Inggeris, dalam masa yang sama menyebarkan ilmu pengetahuan agama Islam. Beliau mengajar dan bersharah di masjid-masjid, surau- surau, kampung-kampung dan pondok-pondok di sekitar Singapura. Bermula pada tahun 1945 hingga 1960, beliau bertugas di Madrasah al-Saqqaf al-Arabiyyah' sebagai seorang guru sebelum dilantik menjadi guru besar pada tahun 1952.
Dalam kitab Al-Amin ini terkandung 40 hadith berkenaan pelbagai asas-asas agama Islam; fadilat sembahyang, puasa, zakat dan haji; anjuran berakhlaq mulia; kewajipan amar ma'ruf dan nahi munkar; serta sebahagian amalan penting daripada ilmu tasawwuf. Matan-matan hadith yang dikumpul dilampirkan bersama maknanya, disertai keterangan ringkas dalam bahasa yang mudah dan lembut.